Sep 3, 2009

KISAH 24


Shah. Kau bertuah memilikinya. Sangat beruntung. Mengapalah aku terlambat menyatakan cintaku? Akibatnya, aku yang terkandas begini. Ditelan payah, diluah salah. Merelakan diri menerima hakikat bahawa gadis yang kucintai adalah adik iparku, isteri adik angkat dan sahabat karibku sendiri. Sungguh. Keadaan ini sangat menyeksakan. Aku sakit kerana mencintainya. Nak membenci? Tidak mungkin. Namun, cinta tidak semestinya memiliki. Cinta sejati adalah untuk membahagiakan. Aku yakin, kau mampu memberi dia kebahagiaan yang dia selalu harapkan, walau aku sering terpaksa melihat dari jauh, memendam rasa menelan duka.

Sejak melihat senyuman manisnya, terdetik satu rasa yang menyenangkan. Halus menyapa hati. Sayang, aku tidak mengambil tindakan dari petunjuk kecil itu kerana menyangka semuanya sekadar mainan perasaan. Perselisihan di lampu isyarat hampir dua tahun lalu rupa-rupanya memang mengisyaratkan sesuatu padaku. Mengapalah aku abaikan rasa itu pada awalnya? Kenapalah aku pandang enteng tentangnya ketika itu? Menyibukkan diri dengan kerja setiap waktu, supaya hati yang teringat melupakan. Agar minda yang terkenang mengalih tumpuan. Menyangka itulah pertemuan pertama dan terakhir kami berdua. Akhirnya aku sendiri yang terkejut, melihatkan gadis itulah yang bekerja sebagai pembantu peribadi ayah. Itupun di dalam rumah, di hadapan batang hidungku sendiri! Gadis sama yang sering disebut-sebutkan oleh sahabatku sendiri, Shahizul Anuar!

Satu kebetulan yang sangat membelenggu fikiran. Menghadirkan sebuah penyesalan yang amat dalam, jauh di lubuk hati. Andainya aku mengambil tahu. Kalaulah aku hadir semasa ayah meminta aku menemuduganya. Agaknya inilah yang dikatakan takdir. Menyiratkan apa yang tersurat. Menyembunyikan sebuah kebetulan. Untuk itu, aku harus belajar melupakan. Menerima hubungan baru ini untuk kebaikan semua pihak. Sekurang-kurangnya dia masih menantu ayah. Tidak jauh dari pandangan. Memaksa aku melihat kelembutan dan sikap prihatinnya semasa menjaga ayah. Setiap hari! Keadaan yang membuatkan aku akan mengambil waktu yang lebih lama sebelum mengakhirkan zaman bujang!

Melihatkan dirinya yang semakin gembira, menerbitkan satu perasaan yang sukar dimengertikan. Pedih, tapi terselit sejuta bahagia. Rasa apakah ini? Apa benar dia dicipta buat adikku itu? Jika betul, kenapa aku terus-terusan mempunyai rasa semacam ini? Sudahlah wahai hati. Terimalah kenyataan. Hentikanlah semuanya. Tamatkanlah tanda tanya, datangkanlah redha. Mahukah kau menjadi penghancur kegembiraannya? Bukannya orang lain, adikmu sendiri? Janganlah pentingkan diri wahai Kamal Akram. Jodohmu akan tiba nanti. Lebih baik dari ini. Bahagia itu akan sampai padamu, asal saja kau tidak berhenti berdoa. Tidak berputus harap pada Tuhan yang Esa.

Atas kekeliruan yang selalu merengsa, aku membuat keputusan untuk tidak menghadirkan diri ketika Aina dan Khiriah membuat gempar. Mengajak semua warga Kamal ke rumah Nisa, lalu memecahkan rahsia kehidupan ratu pujaan hatiku itu. Segala peristiwa yang terjadi di rumah itu dikhabarkan Shah padaku. Aneh. Hatta selepas mengetahui cerita hitam itu, aku masih memendam rasa. Tetap mendambakan dirinya menjadi isteriku. Saat itu aku sedikit berharap yang Shah akan menolak hubungan mereka setelah mengetahui rahsia buruk itu. Nyata, cinta Shah padanya utuh. Dia tetap memilih gadis itu sebagai suri hidupnya. Mujur juga aku tidak berada di sana sewaktu semuanya terjadi. Aku tidak pasti jika aku boleh bertahan melihatnya beresak tangis di hadapanku. Khuatir terluah rasa yang tersimpan kemas ini, sekaligus mengecewakan hati lelaki sahabat rapatku sendiri, andai dia tahu aku juga punya rasa seperti dia buat Khairunnisa.

Kadang-kadang aku keliru. Tidak faham, sejak bila Aina mula memusuhi gadis itu. Sebab apa ya? Dia terasa dengan akukah? Atau dia masih mengharap balasan kasih dariku? Rasanya aku sudah menjelaskan awal-awal padanya yang aku hanya menganggapnya sebagai seorang adik, dan tidak lebih dari itu. Adik perempuan, yang aku tak pernah ada. Apa dia masih salah anggap tentang perhatianku padanya? Salah akukah yang menunjukkan sedikit kasih sayang buatnya sebagai seorang abang? Susah betul nak memahami hati seorang wanita. Semua yang aku buat tidak kena pada matanya. Selalu benar disalah erti. Payah. Cakap salah. Tak cakap tak faham pula.

3 comments:

MaY_LiN said...

ah sudah..
akram2..
tula..
lambat bertindak lg..
hihihi

Sue said...

ala akram dah penasran lak ngan nisa..

apa lak reaksi nisa klu dier tahu yg akram pn ada hati kat dier ye?

shah kena jaga nisa dgn sepenuh kasih n sayang tau!

tu la akram tak mau layan rasa di hati tu..kan saper yg rugi..?

comei said...

nampaknya penangan nisa ni mmg dasyat...
ramai sggh memujanya
so nisa? pilih yg mana? hihihi