Sep 13, 2009

KISAH 26


Sebulan berlalu, aku menjadi semakin tidak sabar untuk bertemu dengan Aisyah. Rasanya dia sudah semakin mendapat tempat dalam hati ini. Perlahan-lahan aku salurkan rasa kasihku buat Nisa kepadanya. Pada Akram, aku risikkan khabar. Bertanyakan keadaan diri dan perkembangannya. Dialah yang menjadi orang tengah kami. Abang yang sangat membantu. Mencarikan sebab untuk aku datang ke Sungai Manik, memberi idea untuk memulakan perbualan, dan menghilangkan rasa segan yang membukit antara kami. Mengakui aku sedikit kekok, kerana gadis itu sentiasa dalam perlindungan dan perhatian Tuan Kamal sekeluarga. Nasib baik Akram selalu bertindak sebagai penyelamat. Memberi kami ruang untuk saling berkenalan, jauh dari usikan dan gelak tawa penghuni rumah itu. Sekurang-kurangnya kami selesa tanpa suara-suara galak dari Kak Ana, Mak Limah dan Pak Sharif. Dengan itu, kami boleh menjadi diri sendiri, mewujudkan suasana perkenalan yang lebih santai tanpa aral yang mengganggu keceriaan.

Walaubagaimana pun, terbit banyak pertanyaan dalam diri. Sukar untuk aku memberi jawapannya sendiri disebabkan usia perkenalan kami masih terlalu singkat untuk aku membuat penilaian sendiri. Jadi, aku meminta nombor telefonnya bagi memudahkan perhubungan dan menghilangkan rasa ingin tahu yang semakin menebal. Sekali lagi, dengan bantuan Akram. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk memberi kebenaran aku menghubunginya. Ayat apalah agaknya yang digunakan oleh Akram, hingga begitu senang gadis itu bersetuju untuk terus bersahabat denganku. Tak kisahlah macam mana pun, asalkan semuanya lancar. Dalam pada itu, Akram tidak lupa menitip pesan padaku semasa menyerahkan nombor gadis manis itu.

“Aisyah tu aku dah anggap macam adik aku sendiri. Ni aku bagi kau peluang untuk berkawan dengan dia, kenal dengan dia. Elok-elok. Jangan buat hal bukan-bukan. Kalau aku dapat tau kau kecewakan dia, kau main-mainkan perasaan dia, jangan marah kalau penumbuk aku hinggap kat muka kau. Jangan nak baran kalau aku hempuk kau masa tu.”

Pesanan berupa amaran itu aku simpan kemas dalam hati, supaya aku sendiri tidak mengulang kesilapan sama seperti yang telah aku lakukan pada Nisa dahulu. Tidak mungkinlah pisang berbuah dua kali. Aku harus membuktikan yang aku telah belajar sesuatu dari kisah lalu, untuk mengembalikan sepenuhnya kepercayaan Anuar padaku. Sebagai tanda kemaafan buat Nisa. Menghadirkan semula rasa percayaku pada diriku sendiri! Membuktikan pada diri sendiri yang aku telah berubah! Aku boleh menjadi lebih baik! Juga menjadi bukti yang aku tidak akan mengganggu kehidupan rumahtangga mereka berdua lagi. Bahawasanya aku akan mencari bahagiaku sendiri, bukan dengan cara menghancurkan mahligai orang lain tetapi dengan daya usahaku sendiri, mengikut jalan lain yang lebih baik.

Pada Anuar, aku sampaikan tentang Aisyah. Dia gembira dengan perkembangan baru itu. Rasa cinta untuk Nisa, aku tukarkan kepada sayang buat seorang kakak. Payah rasanya, tapi aku cuba juga untuk yang terbaik. Anuar sangat menggalakkan aku, kerana dia memahami kepayahan itu. Seolah-olah dia turut merasainya. Naluri kembar barangkali. Masih belum menemukan aku dengan Nisa, khuatir terpadam pula kasih yang baru hendak mekar untuk Aisyah andai aku melihat Nisa pada waktu sekarang. Sekurang-kurangnya biarlah segalanya kukuh, barulah kami boleh bertemu. Aku juga akan lebih yakin pada diri sendiri. Tidak was-was lagi dengan perasaan sendiri. Dengan cara itu, pintu kejayaan akan lebih mudah dibuka, sebab tiada lagi racun yang boleh membunuh secara senyap dalam hati. Masa itu nanti, aku boleh menjadi jujur dengan diri sendiri, juga boleh menjadi seorang Shahrul Azhar bin Abdullah dengan lebih baik tanpa kehadiran rasa bersalah lagi.

2 comments:

MaY_LiN said...

huhuhu...
kasih beralih arah..

comei said...

ok la tu hehehe

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape