Sep 15, 2009

Tanah Bangi: Aku Masih di Sini


Universiti Kebangsaan Malaysia. Sebuah nama yang gah di persada Negara dan antarabangsa. Tidak keterlaluan aku katakan bahawasanya aku tak salah memilih institusi pengajian sewaktu mengisi borang permohonan beberapa tahun lalu. Semasa sesi pemilihan, mataku melekat pada pilihan Kejuruteraan Kimia di universiti ini. Satu pilihan yang sangat menarik perhatian, walau tidak pernah maklum akan wujudnya bidang itu sebelumnya. Hajat awal hanyalah ingin memohon melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Kimia di Universiti Malaya. Akhirnya aku menandakan UKM sebagai pilihan kedua, selepas jurusan Perubatan di UM yang telah diketahui tidak akan ada ruang buatku yang tidak berjaya memperoleh keputusan paling cemerlang iaitu 4.00 semasa perkuliahan di matrikulasi.
Berada di UKM, aku gembira. Sungguh banyak pengalaman yang aku timba. Pelbagai aktiviti di peringkat kolej dan universiti aku sertai. Memetik kata seorang senior, “Orang yang rugi adalah mereka yang menjalani kehidupan di universiti dengan kuliah dan bilik,”. Kehidupan yang sungguh membosankan bagiku. Bermula dengan penyertaan sebagai AJK kecil dalam Sekretariat Pesta Konvokesyen UKM, aku mengorak langkah. Perlahan. Tetapi mencukupi untuk pendakian ke puncak kejayaan. Aku menamatkan zaman aktif berpersatuan sebagai seorang wakil pelajar, sejurus memimpin Sekretariat Pesta Konvokesyen sesi 2006/2007 sebelum menamatkan pengajian dengan berjaya pada sesi konvokesyen tahun 2008. Berpeluang menjerumuskan diri dengan kesibukan yang sedikit mendera, aku belajar perkara yang sangat penting dalam aplikasi kehidupan. Pengurusan diri, juga pengurusan organisasi dan masa. Aku menjadi seorang yang menghargai masa walau sering terpaksa tidak menghadirkan diri ke kuliah atas tiket wakil pelajar. Satu perkara yang sering menjadi isu perbualan rakan sekeliling, kerana aku dengan mudah memperoleh pelepasan dari menghadiri kuliah tetapi masih mampu mengekalkan prestasi dalam pelajaran. Apa pun, semuanya telah berlalu. Kami semua sudah bergelar siswazah. Gelaran yang sangat berharga, kerana diperoleh dengan usaha sendiri, dengan berkat doa ahli keluarga. Ada juga rakan-rakan yang gagal bertahan, berhenti di pertengahan jalan. Alhamdulillah, aku tetap gagah bertahan hingga akhir. Tidak boleh tidak, kejayaan itu bergantung kepada usaha kita. Andai terjatuh, kita tetap akan berjaya jika tiada istilah kalah dalam kamus kehidupan. Jatuh dan bangun, lumrah dalam usaha menggapai mercu kejayaan.
Kini, aku masih lagi di bumi UKM. Biarlah ramai mengatakan aku seorang fanatik. Masih ingin tetap di sini di saat orang lain berpusu-pusu ingin keluar. Aku bahagia dengan kenyataan aku warga universiti ini. Masih lagi menjadi warganya. Mendaftarkan diri sebagai mahasiswi sekali lagi. Kali ini untuk pengajian peringkat Sarjana, juga di Fakulti yang sama. Waima mengetahui aku bakal mendepani pelbagai kerenah birokrasi dalam pentadbiran, aku tetap meyakini aku selesa di sini. Aku tetap memilih untuk belajar di sini. Tetap mahu menyumbang tenaga seperti dahulu. Aku akan terus menjelajah keindahan dunia melalui perspektif seorang pelajar, di sebuah universiti ulung yang sentiasa di dalam hati. Sehingga kini, aku masih tersayat setiap kali mendengarkan lagu universiti, Varsiti Kita. Cuba membayangkan usaha gigih para cendekiawan, rakyat dan tokoh-tokoh negara masa dahulu dalam penubuhan universiti untuk memenuhi hasrat semua. Bangga. Cukuplah untuk mengistilahkan rasa yang menular dalam diri kerana aku berpeluang berada di sini. Dalam rasa itu tercalit semua rasa lain yang menyokong teguh perasaanku. UKM tetap di hati.
*Penulisan ini telah diterbitkan di Buletin SENADA, UKM keluaran Julai 2009

2 comments:

ed haku-chan said...

jiwa kepatriotikan UKM sungguh..

Ili Saharudin said...

tanah tumpah darahku UKM~

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape