Sep 26, 2009

KISAH 27

Ayah jatuh tangga! Kelam-kabut seluruh isi rumah itu apabila mengetahui cerita tentang ayah. Semua orang kalut. Risau. Sesal. Sebak. Aku dan Abang Shah tidak pulang minggu itu. Suamiku ada kerja yang menuntut perhatian. Jadi kami tak pulang. Aisyah ketika itu sedang sibuk mengurus dan mengemas bilik rehat ayah di tingkat bawah selepas kepenatan membersihkan bilik ayah di tingkat atas, kerana ayah memintanya melakukan demikian. Akibat terjatuh, dia terus mendapat serangan strok. Serangan kali ketiga itu menyebabkan dia berada dalam keadaan yang kritikal. Sewaktu kejadian berlaku, Kak Ana yang menjengah ke ruang hadapan terjerit memanggil Pak Mail dan Pak Sharif di luar sebaik melihat Tuan Kamal terbaring di bawah tangga. Jika dia lewat menjengah, sudah tentu Tuan Kamal tidak sempat diselamatkan. Disebabkan itu, tiada keraian yang menyambut kepulangan Akram, sebaliknya dia menerima kejutan yang amat perit. Menumbuhkan duri tajam yang menusuk hati yang dihujani rasa bersalah tak terhingga kerana mengabaikan ayahnya.

Pelik juga, kerana menurut Dr. Fahmi ayah hanya terkena serangan kecil, iaitu TIA (Transient ischemic attack). Siri serangan ini adalah menyamai serangan strok tetapi hanya bersifat sementara. Biasanya serangan hanya berlaku untuk beberapa minit sahaja, kerana kekurangan bekalan darah ke sesetengah bahagian otak. Tiada pula dijumpai apa-apa darah beku atau pendarahan dalaman di bahagian serebrum otaknya. Sudah masuk hari kedua, ayah masih koma. Dr. Fahmi tidak putus-putus mengingatkan kami supaya bersabar dan berdoa untuk kesihatannya. Dia juga berpesan kepada kami supaya selalu bercerita hal-hal yang positif kepada ayah agar perkembangan mindanya akan terangsang. Semoga lebih banyak hormon endorfin akan dirembeskan, menyegerakan proses pemulihannya. Atas sebab itu, aku melihat Abang Akram banyak menghabiskan masanya, setia di sisi ayah. Menemaninya setiap hari. Memegang tangannya dan bercerita.

Banyak perkara dikisahkan. Menambah pengetahuan aku tentang keluarga itu. Tentang kisah dan lipatan kejayaan KaTeCom Sdn Bhd, tentang kisah percutian keluarga, juga tentang arwah Mak. Kenangan membahagiakan bersama arwah Mak paling selalu meniti di bibir Abang Akram. Kadang-kadang aku nampak dia menitiskan airmata lelakinya sewaktu disangkanya tiada sesiapa memerhati. Nampak sangat dia merindui wanita yang tidak pernah aku temui itu. Sekadar mengenalinya melalui potret kenangan yang diabadikan di dalam foto, juga melalui cerita-cerita Abang Shah dan Abang Akram sendiri.

Pernah suatu ketika, Adrian tanpa sengaja memecahkan pasu kesayangan arwah Mak yang ayah beli dari Cina. Mak memang marah, kerana sudah dipesan berkali-kali jangan bermain di kawasan berhampiran pasu besar itu. Tetapi, tindakannya sangat mengejutkan. Arwah Mak tidak langsung menghamburkan marahnya pada Ian yang sedang terkulat-kulat di sudut ruang tamu menahan takut dan rasa terkejutnya. Sebaliknya, Mak menghampiri dan memeluk anak itu sebelum dinasihatinya secara lembut. Menurutnya, jika dia marah dan merotan Adrian teruk mana pun pasu itu tetap tidak akan kembali ke bentuk asalnya. Dia tidak melepaskan kata-kata kesat kerana dia tahu Ian tak sengaja. Pasti Ian juga terkejut melihat deraian kaca yang pecah di depan matanya itu. Jika kagetnya ditambah dengan kemarahan Mak, pasti terluka hatinya. Tentu dia akan berdendam dengan Mak. Pasti akibat yang mendepani lebih buruk untuk difikir atau dibayangkan. Cara Mak membuatkan Ian menangis lebih teruk kerana terharu dengan kasih Mak. Menyebabkan kami selalu berhati-hati selepas itu. Tidak lagi seenak-enaknya bermain di ruang tamu, sebaliknya menghabiskan masa di luar rumah. Di garaj ayah. Bergembira tanpa halangan ruang yang menyekat.

3 comments:

MaY_LiN said...

so sweetnye dapat famili cenggini..

Che Sue said...

sian lak kat tuan kamal...
arap2 dia tak apa2 lah yea...!

memang best arwah mak akram bila adrian pecahkan pasu kesayangan dia tu...

comei said...

bagusnya famili ni...mge2 bahgia slu ya~

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape