Sep 28, 2009

KISAH 29

Hari ketiga, Dr. Fakhrul yang merawat ayah memaklumkan keadaannya semakin stabil walaupun dia masih belum sedar. Pemantauan akan terus dilakukan dan jika ayah sedar dalam tempoh 24 jam, bermakna dia sudah melepasi paras kritikal. Siang tadi, imbasan MRI (Magnetic Resonance Imaging) sudah dilakukan ke seluruh tubuh ayah. Sekali lagi, bagi memastikan tiada kehadiran sebarang tompok-tompok darah beku atau pendarahan dalaman. Pengamal perubatan itu itu khuatir kerana ayah masih belum sedar, memandangkan rekod kesihatan dan pemakanannya terjaga selama dalam tempoh pengawasan Dr. Fahmi.

MRI adalah sejenis peralatan pengimejan yang menggunakan kuasa medan magnet yang kuat untuk menyusun pemagnetan atom-atom hidrogen di dalam air dalam tubuh manusia. Medan frekuensi radio digunakan untuk mengubah susunan pemagnetan tadi secara sistematik, menyebabkan nukleus hidrogen menghasilkan putaran medan magnet yang boleh dikesan oleh pengimbas. Isyarat yang diperoleh boleh dimanipulasi dengan medan magnet tambahan untuk membina maklumat tambahan untuk membentuk imej badan kita. Imej inilah yang akan menjadi bahan visual yang diperiksa oleh doktor untuk memeriksa struktur dalaman dan fungsi tubuh. MRI akan menyediakan gambaran kontra imej tisu-tisu berlainan dalam tubuh yang lebih jelas berbanding topografi komputer (CT), yang akan lebih memudahkan proses pengimejan otak, kardiovaskular dan kanser. Namun, pesakit dengan implan logam, koklea implan  dan perentak jantung dalam tubuh mereka tidak dibenarkan menjalani ujian MRI, disebabkan kesan medan magnet dan denyutan frekuensi radio yang kuat. MRI digunakan untuk mendapat gambaran dalaman setiap bahagian badan manusia, dan sangat berguna untuk pemantauan keadaan pesakit neuro, kecelaruan otot dan rawan, penilaian tumor, dan menunjukkan ketidaknormalan pada hati dan saluran darah.

Akhirnya, segumpal darah beku ditemui di pembuluh darah di bahagian dada ayah, dekat dengan hatinya. Diagnosis segera dilakukan, mencari punca dan kemungkinan yang menyebabkannya terjadi. Memang mereka sudah maklum akan masalah jantung ayah, tetapi pemantauan dan penjagaan berterusan sudah lama dibuat. Apalah daya, risiko arteroslerosis yang ditakuti berlaku, melekat jua pada tubuh ayah. Di manalah silapnya, salur darah menuju hati itu menipis juga. Kolesterol dan lemak telah menumpuk di kawasan arteri itu, menyempitkan ruang untuk aliran darah yang membekalkan oksigen ke seluruh badan. Patutlah ayah jatuh. Atau sebab ayah jatuhkah gumpalan itu terbentuk tiba-tiba? Entah, aku tidak tahu. Semoga keadaan ayah tidak berterusan begini.

Keadaan ayah ternyata merunsingkan semua. Suamiku tiba-tiba menjadi pendiam. Sangat. Risau aku melihatnya. Sudahlah Abang Akram begitu, kali ini Abang Shah pula. Nasib Ian tidak menyertai sikap mereka. Jika mereka bertiga mempamerkan reaksi yang sama, mahu mati kutu aku. Tidak tahu apa yang perlu dibuat. Itu salah, ini tak betul. Kak Aina juga tidak datang sejak semalam. Biarlah. Ketiadaannya melegakan semua orang. Tetapi aku ditimpa hujan pertanyaan yang lebat, kerana suamiku seperti tidak mahu berbicara langsung denganku. Seboleh-boleh dia mengelak dari memandangku, bertentang mata. Begitu jugalah tingkahnya dengan Abang Akram. Dia langsung tidak merapati, apatah lagi memberi kata-kata sokongan kepada abang kesayangannya itu. Pelik. Cepatnya suasana berubah. Aku tidak mengenali sisi Abang Shah yang ini. Menakutkan. Sejak bila dia mempunyai sifat negatif ini? Suamiku bukan orang yang begini. Selalunya dia sangat rasional. Tidak pernah dia utamakan perasaannya sebelum logik akal jika emosinya dalam keadaan tidak stabil.

2 comments:

MaY_LiN said...

aduhai..
cik abang jeles latu..
ntah2 ader yang bawa cita..
memang kena perambat org tuh..

comei said...

ade org jeles laaa

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape