Nov 25, 2009

KISAH 44

Melihat foto arwah sedang tersenyum girang bertemankan Kak Aina di sisi, aku rawan. Sekali lagi aku rasa tidak selamat. Rupa-rupanya dia masih mengganggu. Usahanya untuk mengocak ketenangan alam rumahtangga yang telah kami bina bersama dengan lantai kasih sayang itu masih belum berhenti. Dia masih belum kenal erti putus asa. Dia masih ingin mengirim kelodak hitam ke dalam air jernih yang telah kami tapis halus menggunakan lapisan cinta beralas sabar ini. Kejam betul hati wanitanya. Ke mana hilang sifat kasihan dan perikemanusiaannya? Apa yang telah aku lakukan kepadanya? Dalam benarkah luka di hatinya, sehinggakan dia begitu nekad menghancurkan? Kiranya, aku telah tersalah teka semasa melihat kehadirannya di Hospital Puteri sewaktu ayah Kamal sakit dahulu. Mindaku mencerna andaian yang dia mahu kembali bersama dalam usaha membina kembali kebahagiaan keluarga kami yang pernah dia rosakkan. Tidak sangka dia datang membawa niat lain yang tidak baik dan memudaratkan. Jika betul telahanku, dia memang telah berjaya.

Tidak susah untuk aku mencipta anggapan bahawa dialah yang menabur cerita palsu tentang hubungan aku dengan Abang Akram kepada arwah Abang Shah. Apatah lagi dia yang berada di hospital pada waktu itu. Mustahillah untuk arwah bersangka buruk padaku kalau tiada yang memberi punca. Sebab cerita tidak benar itu, arwah suamiku pernah membenci. Mengakibatkan anak kami yang masih dalam kandungan tidak sempat langsung merasai sentuhan mesra ayahnya. Aiman kesayanganku terpaksa menanti sehingga dilahirkan ke dunia untuk disayangi ayahnya sendiri! Aku memaklumi bahawa aku telah berdosa kerana menabur prasangka kepada seorang wanita muslimah lain, tetapi itulah yang aku rasa sekarang. Sesungguhnya aku tidak dapat membendung sifat itu. Aku menyalahkan orang lain, menuduhnya tanpa sebarang bukti kukuh yang mengaitkan dia sebagai punca keretakan. Salahkah aku?

Kasihan anakku! Dia tidak bersalah. Kenapa tergamak Kak Aina buat aku macam ni? Apa yang aku dah buat? Aku tak pernah menyimpan hasrat untuk merampas apa-apa yang dimilikinya tetapi mengapa dia sangat berazam untuk mengambil semua yang aku ada? Andai betul ada perkara yang belum terlunas, semuanya boleh diselesaikan secara baik. Diplomasi masih ada untuk mengungkapkan segala hal yang masih terhutang. Tidak perlulah dia gunakan cara yang halus dan keji macam ini. Pintu depan tidak pernah ditutup, kenapa perlu menerjah ruang tamu menggunakan pintu belakang? Sudah terlalu gelapkah hatinya, hingga tiada sinar yang boleh menembusi? Kesabaran dan hormat yang aku tunjukkan rupanya tidak boleh, bahkan tidak pernah mencairkan tembok kebencian yang telah terpasak kukuh di dasar hatinya. Lembutkanlah hatinya Ya Latiff. Tingkatkanlah tahap sabarku wahai Tuhan yang Maha Sabar!

Patutlah sesiapa pun dari keluarga Kamal tidak meluahkan sepicing pun berita tentang perkahwinan Azhar dan Aisyah padaku! Jika aku ke sana, tentu aku tak sanggup melihat kemesraan arwah dan Aina. Tambahan pula, Kak Aina pasti tidak melepaskan peluang untuk menyebar cerita yang lebih hebat. Melakar cereka baru dengan plot yang lebih dramatik, bertujuan menambah kemarahan arwah padaku. Arwah pula? Aku tahu dia akan termakan dengan kata-kata Kak Aina pada waktu itu. Kalau aku berada di tempatnya pun, aku akan percaya pada cerita yang sama. Kononnya nanti, aku datang kerana menemani Abang Akram. Sedang sarat pun masih mahu datang. Tidak sukar rasanya untuk arwah percaya, sebab sudah pastilah bukan dia yang memberitahu hal majlis itu padaku. Semakin maraklah api dalam hatinya. Makin teballah asap yang menutup pelangi cinta jiwanya. Keadaan aku tentunya akan jauh lebih parah kalau aku datang ke majlis indah adik iparku itu. Jadi, tidak salahlah mereka semua membuat keputusan merahsiakan peristiwa besar itu dari pengetahuanku. Tindakan mereka betul untuk jangka waktu itu, dan aku tidak salahkan mereka. Mereka hanya berniat melindungi. Tidak mahu hal yang lebih teruk berlaku. Mahu menamatkan sebuah pementasan yang menyakitkan mata dan hati semua, tetapi enggan bertindak secara agresif. Lebih gemar menjadi penonton yang membenci watak antagonis secara senyap, kerana khuatir sebarang tindakan akan lebih memburukkan keaadaan yang sudah sedia teruk.

2 comments:

MaY_LiN said...

sis..
tinggal 'p' kat para 4..
patutlah kan..?

rahmah said...

yup.. mls nk betulkan, internet slow.. nnt da laju sy betulkan yeah?

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape