"Lu kasi gua mati dulu la baru gua diam!" Ini dialog Aaron Aziz a.k.a Malek.
"Aku tak takut mati, tapi aku tak nak mati." Ini pula dialog Adi Putra a.k.a Jai.
Dialog dalam cerita ini penuh dengan bahasa-bahasa kasar dan kata-kata maki. Maka, sangat disarankan kepada para ibu bapa di luar sana agar tidak membawa anak-anak ke dalam panggung bagi menonton kisah Gangster ini.
Kita tinggalkan dahulu perihal bahasa itu kerana dimaklumi, cerita ini tajuknya KL Gangster. Dari sisi lain, pada saya cerita ini merupakan satu lagi usaha Syamsul Yusof membuktikan kewibawaannya yang dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Malaysia pada tahun lalu. Saya tabik dia dalam hal ini kerana dia berjaya menghasilkan sebuah filem aksi yang memang sarat dengan aksi. Diakui, cerita ini sedikit ganas namun bertepatan dengan tajuknya yang memerihalkan kisah gangster di KL itu.
Pemilihan Aaron Aziz sebagai tunjang utama cerita merupakan pilihan yang tepat. Pelakon lelaki yang sememangnya menjadi kegemaran saya sejak kemunculannya dalam drama Emel Emelda suatu masa dahulu berjaya membawa watak 'Sleeping Dragon' dengan sangat baik. Watak Malek yang berusaha untuk berubah dan mahu 'cuci tangan' dari menjadi kaki pukul itu dibawa dengan cukup bergaya sehinggakan setiap kali ada gangster muda yang mencari pasal, saya ternanti-nanti naga yang tidur itu beraksi. Ini memang cool!
Sementara itu, watak Jai yang dilakonkan oleh Adi Putra juga tidak kurang hebatnya. Adi Putra berhasil menterjemahkan watak lelaki yang tidak takut mati dan hanya mengejar material itu dengan cukup baik. Saya sendiri berasa geram dengan wataknya yang sanggup membelasah abangnya sendiri yakni Malek semata-mata mahu melindungi Shark lakonan Shamsul Yusof yang telah 'membayarnya'. Seperkara, saya suka cara Jai mengungkap dialog seram dan geram secara sinis itu. Sangat cool!
Bagi watak antagonis yakni Shark, Shamsul Yusof nampak kurang menyerlah kerana wajahnya yang kelihatan lembut itu hampir-hampir menggagalkan lakonannya sebagai seorang gangster walaupun berjaya ditutup oleh watak Jai dengan baik. Namun, Syamsul berjaya tampil sebagai gangster pengecut apabila karakternya tidak pernah berenggang dengan pistol dan sering menghentam golongan lemah seperti ibu Malek dan Abang Long Dil (Zizan Raja Lawak).
Watak-watak pembantu yang lain seperti Soffi Jikan (Ajib), Zizan Raja Lawak (Abang Long Dil) dan Adam Corrie (Dragon) juga tidak mencacatkan perjalanan cerita. Bahkan kesemuanya seperti bergabung dan menguatkan cerita dari pelbagai sudut, seperti watak Ajib yang muncul setiap kali Malek ditimpa masalah. Di sini pengarah menterjemah istilah 'persaudaraan' atau 'brotherhood' di dalam tim gangster yang menjadi Raja di KL sejak zaman kegemilangan King (Ridzuan Hashim) dan Malek sebelum dia dihantar ke penjara oleh Shark yang gila kuasa. Begitu juga watak Abang Long Dil/Fadil lakonan Zizan. Kemunculannya setiap kali berjaya mengurangkan keganasan cerita ini dan sekaligus menguatkan watak Malek yang bijak mencari sudut-sudut pukulan yang nampak 'mengena'.
Keseluruhannya, kisah ini tidak mengecewakan. Saya amat terhibur dan entah berapa kali saya tersenyum sepanjang babak-babak cerita ganas ini terlayar di panggung. Terbukti, pengarah muda ini memahami makna aksi dan dia memaparkan semua itu di dalam filem arahannya ini. Paling menyeronokkan, saya suka cerita ini yang tiada babak percintaan. Pertama kali menonton cerita yang tiada heroin, melainkan watak Sheera (Zeti) sebagai adik Malek yang diwujudkan supaya Malek berasa bersalah dan mahu terus berubah.
![]() |
Saya suka babak ini ^__^ |
Penghujung cerita ini bagaimanapun tidak sehebat pengakhiran kisah Khurafat. Pengakhirannya kurang memberi impak kepada saya walaupun saya tersengih lebar melihat 'kematian' Shark dengan mata yang terbuntang. Kalau penghujungnya diletakkan babak yang lebih dramatik yang memaknakan istilah brotherhood atau kekeluargaan, tentu cerita ini akan lebih menarik dan mengesankan. Namun, berkemungkinan saya tidak memahami budaya gangster, maka saya tidak memahaminya kalaupun hal itu telah dipaparkan oleh pengarah. Apa-apa pun, filem ini terbaik!
Usai menonton filem ini, saya terbayangkan filem bersiri KL Gangster, seperti kisah Young & Dangerous lakonan Cheng Ekin yang mencecah 5 siri. Sebabnya, banyak persoalan yang seperti sengaja tidak dimatikan di dalam filem ini. Melihatkan kemampuan pengarahnya sehingga kini, perkara ini dilihat sebagai bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.
Usai menonton filem ini, saya terbayangkan filem bersiri KL Gangster, seperti kisah Young & Dangerous lakonan Cheng Ekin yang mencecah 5 siri. Sebabnya, banyak persoalan yang seperti sengaja tidak dimatikan di dalam filem ini. Melihatkan kemampuan pengarahnya sehingga kini, perkara ini dilihat sebagai bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.
Menanti Transformers 3: Dark of The Moon 30 Jun ini.. Hahaha, hati semakin tidak keruan.
1 comment:
Tak mahu tengok filem ni walaupun ada yang kata best (lagi-lagi Adi Putra berlakon kan)... bahasanya sangat menyakitkan telinga... ngeeee...
Tapi filem Khurafat dah 2 3 kali tengok (itupun download je) ^__^
Post a Comment