Assalamualaikum w.b.t wahai rakan-rakan pembaca yang budiman. Semoga kalian sentiasa di dalam lindungan rahmat Allah.
Cerita di bawah ini sudah lama saya tulis tetapi saya tidak tahu bagaimana hendak memanjangkannya. Maka, saya kongsikan sahaja cerita yang baru separuh ini. Sesiapa yang punya idea untuk mencorakkan lagi kisah ini, mohon beramai-ramai kongsikan buah fikiran di sini.
Akhir sekali, terima kasih kerana masih mahu berkunjung dan membaca entri di ruangan ini. Hidup itu perkongsian! :)
***
“Kau selalu berjalan laju-laju. Siapa yang mengejar kau?” Kamal bertanya sebaik berhasil menyaingi langkah Salina.
“Kenapa aku perlu menjawab soalan yang tiada kepentingan itu?” Balas Salina sombong.
Telinga Kamal panas mendengar balasan Salina yang tidak berlapik itu.
“Sombongnya! Mana kau tahu soalan-soalan aku tiada kepentingan?” Kamal bertanya balas.
“Sebab aku pasti, aku masih boleh menghirup oksigen dengan bebas walaupun aku tidak menjawab soalan-soalan kau.” Jawab Salina sinis.
Telinga Kamal berdesing. Jawapan Salina itu sangat tidak patut!
“Tidak sudah-sudah dengan sikap sombong! Apa kau pasti halaju hirupan kau itu selari dengan kapasiti oksigen yang tubuh kau perlukan?” Balas Kamal tidak mahu kalah.
Langkah Salina pantas terhenti lalu dia menoleh ke arah Kamal. Dia tersedar, telinga rakannya itu sudah merah umpama udang salai. Dia tahu, Kamal sedang menahan rasa. Salina segera tersenyum nipis membuatkan raut Kamal yang baru tegang itu mengendur kembali.
“Hebat juga kau berkata-kata. Apa maksud bicara kau tadi?” Tutur Salina dengan nada yang sengaja dilembutkan.
“Sekali-sekala, kau juga yang buat aku panas telinga.” Balas Kamal lalu tersengih. Salina pula sekadar berdehem menahan tawa.
“Maksud aku, kau pasti udara yang kau hirup itu penuh dengan oksigen? Mana kau tahu yang semua oksigen itu menyeluruhi salur darah dan mencukupkan bekalan oksigen ke seluruh tubuh kau?” Kata Kamal kemudiannya.
Salina terdiam sekali lagi. Kata-kata berbentuk peringatan yang terluah dari mulut teman baiknya itu meresap dalam kepalanya membuatkan dia tersedar. Wajah Kamal yang bersahaja itu menyapa pandangannya dan dia terpaku di situ. Lama.
“Aku tahulah aku kacak, tetapi itu bukan tiket untuk kau pandang muka aku berlama-lama begini.” Luah Kamal, masih bersahaja.
Tidak menunggu lama, kulit muka Salina yang cerah itu pantas bertukar merah. Khilafnya sendiri, sampai terpesona pada sesuatu yang tidak harus dipandang lama-lama. Lalu, pandangannya ditundukkan dan dia tersenyum menyembunyikan malunya sebagaimana layaknya seorang wanita yang kaya dengan sifat malu. Ya, malu yang selalu menjadi benteng perilakunya supaya tidak berbuat yang tidak-tidak.
“Berbalik kepada soalan aku tadi, kenapa kau suka berjalan laju-laju?” Tanya Kamal semula.
“Aku perlu pulang cepat-cepat, ada banyak agenda lain di rumah. Lagipun, kalau jalan lambat-lambat nanti ramai pula yang mahu hentikan langkah. Sebab itu aku berjalan macam orang yang tidak cukup tanah.” Balas Salina sambil berseloroh.
“Amboi, jawapan macam orang ramai peminat!” Kata Kamal lalu tergelak-gelak kecil. Salina ikut ketawa sebelum kembali melangkah laju-laju meninggalkan Kamal yang tiba-tiba mematikan langkahnya.
“Bukankah berjalan lebih pantas dari orang yang lain itu simbol yakin diri yang sangat tinggi? Kau anggapkan sahaja itu keistimewaan seorang perempuan bernama Salina!” Laung Salina sebelum meninggalkan Kamal yang masih tegak di tempatnya tadi.
No comments:
Post a Comment