LOPAK
Sumber gambar: http://ridoma.blogspot.com/2011/04/puncak-alam-banjir.html |
Lopak air di hujung jalan itu ditenung lama. Sesekali, badannya ikut beranjak ke belakang apabila ada kereta yang melanggar lopak air itu. Badannya hanya ditegakkan sesudah kenderaan itu berderu jauh dari kawasan lopak itu.
Masuk hari ini, sudah lima bulan lopak itu menjadi ‘hiasan’ di atas jalan yang sudah lama tidak diturap itu. Bererti, sudah lima bulan juga dia menjadi pemerhati setia lopak itu dari jauh dan telah lima bulan juga dia menyimpan rasa di hatinya.
Dari saiznya yang cuma sebesar tapak tangan, sekarang diameter lopak itu sudah hampir sepanjang pembaris panjang. Sekian banyak kereta yang lalu, tiada sesiapa yang mengambil langkah menutup lopak itu dengan batu mahupun pasir. Lubang lopak yang pada awalnya tidak membahayakan sesiapa, kini terpaksa dilalui dengan penuh berhati-hati. Bahkan, ada pemandu lori yang mengelak dari melanggar lopak itu kerana khuatir dalamnya bertambah dengan pertambahan lebarnya.
Sejak projek pembinaan yang berselang dua kampung dari tempat itu berjalan, semakin banyak lori yang melalui jalan itu. Semua itu dia perhatikan sahaja dari tingkap rumahnya yang berjarak hanya sepelaung. Saat anak-anak kampung sibuk menjengah lopak itu, dia memandang dari jauh dengan hasrat yang berusaha dipadamkan. Ketika semua orang berkumpul di kedai kopi dan bercerita mengenai lopak yang kian besar itu, dia terkebil-kebil memandang dan memasang telinga bagi mendengar cerita baru.
“Amran, apa yang kamu menungkan?” Suara emak menyapa lembut dari belakang.
“Tiada apa-apa, emak. Am hanya memerhati kenderaan yang lalu-lalang di hadapan rumah kita.” Balas Amran tanpa berkalih pandang.
Emak menggeleng-geleng melihat tingkah anaknya yang seorang itu. Dalam hidupnya yang sudah kian senja, Amranlah madu dan anak itu jugalah racunnya. Tanpa sedar emak berdiri di sisi Amran, merenung langit dan termenung.
“Kinah, nanti jaga anak kita baik-baik ya? Jangan sekali-kali kau benarkan dia bermain-main di kawasan lopak itu.” Pesanan arwah ayah kembali segar di kotak ingatan emak kerana lopak yang menjadi bahan bualan itu muncul kembali.
Sepuluh tahun lalu, lopak yang disebut-sebut ramai itu sudah ditimbus dengan tanah apabila projek menurap tar di seluruh jalan kampung itu dilaksanakan oleh parti pemerintah. Emaklah orang yang paling lega apabila lopak besar di hujung jalan rumahnya itu ditutup. Terasa keputusannya memangkah parti pemerintah itu tidak sia-sia.
Sebelum itu, hatinya selalu rawan setiap kali Amran keluar bermain dengan anak-anak jiran. Gusarnya tidak terpadam selagi wajah Amran terjengul semula di pintu rumah. Acapkali, Amran kelihatan memberontak dalam diam namun tidak berani membantah apabila dia asyik mengulang pesan agar anak tunggalnya itu tidak bermain-main di kawasan lopak besar itu.
Sebab itu, emak lega benar apabila lopak itu ditimbus dengan tanah. Saat sodokan tanah yang pertama dituang di atas lopak itu, emak hampir-hampir menghambur tangis namun ditahankan sahaja supaya Amran yang sedang terpinga-pinga tidak banyak bertanya.
Larangan emak
Amran menatap lopak besar di hujung jalan itu lagi. Seingatnya, di situ jugalah lopak besar yang menjadi kawasan larangan baginya dahulu berada.
“Mungkinkah ini lopak yang sama?” Hati Amran asyik bertanya.
Lopak larangan itu selalu menjadi topik hangat di antara rakan sepermainannya suatu masa dahulu. Dia hanya mampu menjadi pendengar dungu yang tidak mengerti kerana tegahan keras emak sering menipiskan keberaniannya untuk mendekati lopak itu.
Setiap kali kakinya menginjak tangga rumah untuk keluar bermain, setiap itulah emaknya akan melaung kata-kata amaran yang sama.
“Jangan sekali-kali kau pergi bermain di tepi lopak besar di hujung jalan itu! Emak tidak benarkan!” Itu pesanan emak setiap kali. Pesanan keras berbentuk larangan itu sentiasa dia patuhi dengan hati yang sebal.
“Amran, kenapa kau tidak pernah ikut kami ke hujung jalan itu?” Pernah rakannya bertanya.
Amran hanya tersenyum kecil dan menjawab perlahan dengan nafas yang tertahan-tahan, “Ada lopak besar...”
Sejurus, kawan-kawannya ketawa mengejek.
“Amran takut lopak besar!” Itu kata mereka, berulang-ulang tetapi Amran tetap diam kerana dia tidak mahu emak menyambut kepulangannya dengan rotan panjang di tangan. Amran tidak mahu tapak tangannya yang kecil berbirat-birat dengan bekas luka. Amran juga tidak mahu emak menangis malam-malam dan menyapu ubat di batang tubuhnya setelah dia terlena menahan kesakitan kerana dirotan oleh emak.
Jadi, biarlah dia kempunan asalkan emak tetap tersenyum.
Setelah jalan itu diturap, lopak itu turut terpadam. Amran gembira dalam duka dengan keadaan itu. Dia gembira kerana telinganya sudah tidak perlu mendengar sindiran teman-temannya lagi sementelah lopak itu telah tiada. Orang-orang kampung yang berkumpul di kedai kopi juga sudah ada topik baru iaitu jalan yang baru diturap dan sikap murah hati parti pemerintah.
Namun pada masa yang sama hatinya bernanah. Hatinya tidak mahu tersenyum dengan kenyataan bahawa hanya dirinya yang tidak pernah melihat lopak itu dari dekat. Anak Pak Mahat yang masih berdukung itu pun sudah pernah menjengah lopak itu tetapi dia hanya mendengar kisah dari orang sekeliling.
Hasrat
Kini, lopak itu ‘muncul’ lagi. Memikirkan hasrat hatinya yang membuak-buak untuk melihat lopak itu dari dekat, perasaan Amran begitu teruja. Impiannya pada zaman anak-anak menyeluruhi fikirannya kini. Tambahan pula, rakan-rakan sepermainannya dahulu sudah ramai yang keluar bekerja ke kota besar. Hanya dia yang masih tinggal menemani emak yang masih sendiri sejak ayah ‘pergi’.
“Bolehkah kalau aku ke situ? Adakah sekarang pun emak masih melarang aku ke sana?” Amran tertanya-tanya.
Ketika itu, bumi sedang basah ditimpa air hujan. Sudah hampir satu hari hujan turun tidak berhenti-henti. Renyai, namun berpanjangan.
Emak yang lena akhirnya bangun dari katil setelah berkali-kali tubuhnya ditampar angin malam yang sejuk. Sekarang, wanita tua itu sedang khusyuk di atas sejadah.
Amran yang masih belum dapat melelapkan matanya itu hanya memerhati tingkah emak dari celah-celah kibaran langsir pintu biliknya yang sengaja dibuka luas-luas malam itu. hatinya yang asyik terkenangkan lopak besar di hujung jalan itu bagai ditarik-tarik dan fikirannya luar biasa nakal malam itu. Dia asyik membayangkan titis-titis hujan yang turun ke tanah dan memenuhi lopak air itu sebagaimana air yang sedang menitis dari atap rumahnya yang tiris lalu perlahan-lahan memenuhkan takungan air di atas lantai.
“Emak, bolehkah kalau Amran mahu melihat lopak air itu secara dekat pada usia ini?” Tanya Amran kepada dirinya sendiri.
Di bilik, emak berlama-lama di tikar solat. Usai berdoa, dia berbicara sendiri dengan mata yang basah. Bingkai gambar arwah ayah di sisi meja usangnya dipandang penuh kasih.
“Abang, Kina tidak pernah lupakan pesanan abang. Alhamdulillah, Amran anak baik. Tingkahnya sopan dan tuturnya lembut persis abang. Dia tidak pernah bermain-main di lopak besar itu semasa usia kecilnya seperti yang abang amanahkan.” Kata emak dengan linangan air mata.
“Amanat abang itu sudah selamat Kinah jalankan. Sekarang, anak kita sudah besar. Kinah tahu, dia sudah cukup bijak untuk memahami maksud larangan keras kita berdua semasa kecilnya dahulu.” Kata emak lagi. Kali ini, bibirnya yang sudah merekah itu tersenyum manis bagaikan arwah ayah sedang berada di hadapannya.
***
“Mak Kinah! Amran...” Seorang anak muda melaung di luar pintu rumah.
Emak terkocoh-kocoh ke ruang hadapan. Debaran di hatinya memuncak apabila wajah anak muda yang membawa berita itu tampak tidak bercahaya. Anak itu juga kelihatan tidak bersedia untuk bertentang mata dengannya.
“Ada apa Khairuddin? Kenapa dengan Amran?” Tanya Mak Kinah dalam debar yang tidak berhenti.
“Amran terjatuh dalam lopak besar di hujung jalan itu...” Jawab Khairuddin lemah.
Emak terjelepok di lantai saat orang-orang kampung tiba dengan menatang tubuh kaku Amran di bawah tangga.
No comments:
Post a Comment