May 20, 2012

DAHLIA SAYANG MAMA

Sebuah Cerpen untuk Geng Urban
Oleh: Rahmah Mokhtar
Sumber gambar: ntvirus.wordpress.com

Bunga putih di atas meja dipandang lama dengan mata yang berkaca-kaca. Cekatan, kenangan silam yang sentiasa segar berputar lagi dalam ingatan. Kolam air mata Dahlia kian bergenang. Ah, air mata ini..., selalu sahaja murah saat wajah lembut Mama terlintas di fikiran.


Sepuluh tahun lalu....
Dahlia tersenyum-senyum melihat sekuntum bunga putih di atas meja tulisnya. Matanya bercahaya. Pantas, dia mencapai bunga itu. Tetapi, ketika dia hendak mencium bunga itu, pintu biliknya ditolak dengan kuat dan muncullah dua orang budak lelaki yang serupa parasnya.

Dua budak lelaki itu meluru laju ke arah Dahlia.
Terjerit-jerit Dahlia kepada mereka, “Hasan, Husin, jangan langgar kakak, lari perlahan-lahan! Bunga...,” namun kata-katanya tidak sempat dihabiskan apabila tubuh Dahlia dirempuh.

Mata Dahlia terkebil-kebil memandang siling. Dia terlentang di atas lantai dengan Husin yang setia tersengih-sengih sambil duduk di atas perutnya. Sementara Hasan yang berdiri di hujung kaki Dahlia cepat-cepat mengambil bunga putih dari tangan kakaknya dan berlari laju menuju ke pintu.

Dahlia menjerit lagi, “Hasan, pulangkan bunga kakak itu! Husin, bangun cepat, kakak perlu kejar abang kamu!” sambil mengetap giginya.

Husin segera bangun dan melaung, “Abang, lari jauh-jauh! Kakak mahu kejar abang!” Kemudian, dia menjelirkan lidah kepada kakaknya lalu berlari turun.

Sambil menghentak-hentak kaki, Dahlia mengejar Hasan dan Husin. Selepas menuruni tangga dan tiba di ruang tamu, kelihatan Hasan dan Husin sudah bersembunyi di belakang seorang wanita.

Dahlia merengek manja, “Mama, lihatlah perangai mereka yang nakal itu! Mereka berdua mengambil bunga putih milik saya!” mengadu hal kepada Puan Zanariah.

Puan Zanariah tersenyum manis, mempamerkan wajahnya yang lembut. Kemudian, dengan perlahan dia bergerak ke arah meja. Hasan dan Husin ikut bergerak sambil memegang kuat hujung baju ibu mereka.

Dahlia memerhati ibunya dengan diam. Dahinya berkerut-kerut seperti orang yang sedang keliru.

‘Mengapa Mama tidak berkata apa-apa?’ Getus hatinya.
Namun, Dahlia tetap memerhatikan ibu dan dua adiknya itu sehinggalah mereka hilang di sebalik pintu. Riak wajahnya cepat sahaja bertukar masam. Ada rajuk terpamer pada wajah aduannya dipandang sepi.

Dahlia mula meramas-ramas hujung baju. Tiba-tiba, Hasan dan Husin muncul bersama sekuntum bunga putih di tangan masing-masing!

Tersenyum Dahlia, ceria dan lebar sebelum air mata jernih menitik ke pipi. Hasan dan Husin pula sudah ketawa-ketawa apabila Puan Zanariah mendekat dan menyeka pipi gadis yang baru menjengah usia remaja itu.

Suasana rumah kecil itu yang sebelumnya hangat berubah tiba-tiba kerana dipenuhi warna kasih sayang yang damai.
Di situlah Dahlia menangis. Di situ juga dia tersenyum dengan banyak.
***
Dahlia pandang pula karangan bunga melati di hujung tangga. Fikirannya ‘mengembara’ lagi.

Suatu pagi Ahad yang damai....
Puan Zanariah memanggil anak-anaknya, “Dahlia! Hasan! Husin! Cepat turun! Ayah sudah mahu pergi kerja!” sambil menunggu di hujung tangga.

Dahlia yang baru selesai menyisir rambut segera berlari turun. Hasan dan Husin yang baru siap berpakaian juga cepat-cepat keluar dari bilik tidur.

Di hujung tangga, Puan Zanariah mendepakan tangan menyambut anak-anaknya.
Hasan dan Husin melompat memeluk ibu mereka. Dahlia pula mencapai tangan ibunya dan mereka bersama-sama melangkah ke ruang tamu. Di situ, Dr. Halim sedia menunggu dengan senyuman.

Mereka bertiga menyalami Dr. Halim dan berpelukan. Akhir sekali, Puan Zanariah mencium tangan suaminya sebelum mereka semua menghantar lelaki itu ke kereta.

Pesan Dr. Halim, “Ayah pergi kerja dahulu, jangan nakal-nakal, ya? Ikut cakap mama dan jadi anak-anak yang baik,” sambil memasang tali pinggang keledar.

Ketiga-tiga anaknya mengangguk perlahan bagai berjanji mahu menuruti pesanan itu.
Sebaik enjin dihidupkan, Hasan bertanya, “Kali ini, berapa lama ayah pergi?”

Dr. Halim tersenyum dan membalas, “Hanya seminggu. Kalau Hasan dan Husin mahu mengira, seminggu adalah tujuh hari. Hari kelapan, insya-Allah ayah akan pulang.”
Hasan mengangguk. Husin mengikut tingkah abangnya.

Selepas kereta ayahnya keluar dari parkir, Hasan dan Husin berpusing mahu masuk ke dalam rumah tetapi dilarang oleh ibu mereka.

Puan Zanariah menegur, “Anak-anak Mama terlupa sesuatu?”
Hasan dan Husin menggeleng-geleng lalu berkata, “Kami hanya mahu masuk ke dalam dan bermain.”
Dahlia yang masih melambai ayahnya menyampuk, “Kalau ayah pergi kerja jauh-jauh, kita perlu berdiri di luar pintu dan melambai sehingga kereta ayah hilang dari pandangan.” Matanya tidak beralih dari memandang kereta Dr. Halim.

Puan Zanariah mengangguk-angguk lalu berkata, “Ini tradisi keluarga!” Hasan dan Husin tersengih-sengih lalu melambai ayah mereka.

Selepas tujuh hari, pada suatu petang yang redup....
Dahlia keluar dari biliknya dengan pakaian serba putih. Puan Zanariah tersenyum manis melihat anak perempuannya sementara Hasan dan Husin asyik mencuit-cuit sesama sendiri.

Bunyi loceng pintu mengalihkan tumpuan mereka. Dahlia segera menjerit, “Itu pasti ayah yang pulang!” dengan suara yang nyaring.

Hasan dan Husin pula sudah melompat-lompat sambil berlari ke pintu bagi menyambut ketibaan ayah mereka. Puan Zanariah tergelak kecil sebelum menarik tangan Dahlia dan beriringan menuju ke pintu. Dahlia menggenggam erat tangan ibunya.

Sebaik sahaja pintu dibuka, Hasan dan Husin menjerit, “Mama, ada kotak besar!”

Terpinga-pinga Puan Zanariah tetapi dia cepat-cepat melihat kotak besar yang diperkatakan anak-anaknya itu. Dia terkejut melihat kotak sebesar saiz manusia dewasa itu dengan mulut terlopong tetapi reaksinya mati apabila Hasan dan Husin mula menarik-narik lengannya.

Berkata Hasan dan Husin, “Bukalah kotak itu, Mama. Bukalah,” secara bergilir-gilir.

Puan Zanariah tersenyum dan berkata kepada anak-anaknya, “Baiklah, tetapi kamu bertiga bantu Mama bawa kotak ini ke dalam dahulu, ya?” 

Dahlia dan dua adik lelakinya mengangguk-angguk. Serentak. Hasan dan Husin mengambil tempat di belakang kotak sementara Puan Zanariah dan Dahlia berdiri di sisi kiri dan kanan kotak itu.

Berkata Hasan, “Mama, ada roda di bawah kotak besar ini!” dan Husin mula mengintai-intai ke bawah kotak itu.

Puan Zanariah tersenyum lagi lalu berkata, “Alhamdulillah. Mudahlah kerja kita menolak kotak ini ke dalam.”

Sekali lagi, ketiga-tiga anaknya mengangguk serentak.
Kemudian, Puan Zanariah menyambung lagi, “Sekarang, tunggu Mama kira sampai tiga. Selepas itu kita tolak kotak besar ini bersama-sama. Jangan tolak kuat sangat, ya? Nanti Mama terjatuh.”

Hasan dan Husin menjawab serentak, “Baik, Mama!” sementara Dahlia hanya mengangguk kecil walaupun ibunya tidak nampak pergerakan itu.

Berkata Puan Zanariah, “Dengan nama Tuhan, satu, dua..., tiga!” lalu kotak itu bergerak perlahan-lahan.

Selepas beberapa langkah, dahi mereka berempat berkerut-kerut dan nafas mereka kelihatan berat. Berkata Dahlia, “Beratnya kotak ini! Mama rasa, apa isi kotak besar ini?” dengan nafas yang termengah-mengah.

Puan Zanariah berkata perlahan, “Mama tidak tahu. Pelik juga, siapalah yang mengirim hadiah yang besar dan berat begini untuk kita. Ayuh, kita usaha lagi!”
Hasan dan Husin yang sudah berpeluh-peluh menjawab dengan kuat, “Baik!” sementara Dahlia terus mengangguk kecil.

Akhirnya, kotak besar itu berjaya ditolak sehingga ke tengah-tengah ruang tamu. Puan Zanariah kemudiannya menutup pintu dan menyertai anak-anaknya yang mengerumuni kotak itu. Mata hitam Hasan dan Husin bersinar-sinar dan Dahlia sibuk menelek-nelek kotak itu.

Tegur Puan Zanariah lembut, “Dahla, dari kamu mengintai-intai begitu, ada baiknya kalau kamu bantu Mama dan adik-adik buka kotak ini. Ayuh, kita buka pembalutnya dahulu!”

Hasan dan Husin bersorak sambil mengangkat kedua-dua tangan ke udara. Dahlia ikut bersorak tetapi dia cepat-cepat menurunkan tangan dengan wajah yang mula merah-merah. Puan Zanariah ketawa perlahan melihat telatah anak gadisnya yang ternyata sudah pandai menyimpan malu itu.

Kemudian, mereka mula membuka kotak itu.
Selepas kotak itu dibuka, mereka bertiga menjerit kuat dan Puan Zanariah memegang dada!

Ada suara memberi salam! Puan Zanariah menggosok-gosok dadanya perlahan. Hasan dan Husin memandang sama sendiri dengan wajah takut-takut sambil menjenguk ke dalam kotak itu. Dahlia pula memegang baju ibunya sambil sebelah tangan lagi menutup mata.

Sekali lagi, ada suara memberi salam. Bahu Puan Zanariah terangkat sedikit dan Dahlia sudah menutup kedua-dua telinga menggunakan tangan sambil matanya dipejam rapat-rapat. Hasan dan Husin pula terpandang-pandang sesama sendiri sebelum sama-sama melutut dan merapati ibu mereka.

Kemudian, suara itu kedengaran lagi berserta bunyi loceng pintu. Puan Zanariah tersenyum seraya menghembus nafas lega. Dia mencuit Dahlia namun anak perempuannya itu menjerit kuat, “Jangan ganggu kami!” menyebabkan Hasan dan Husin yang masih takut ikut menjerit.

Puan Zanariah ketawa kuat lalu berkata, “Ada orang di luar. Dia yang memberi salam sejak tadi. Tiada apa-apa dalam kotak itu.”

Dahlia menutup mulut. Pipi dan telinganya merah! Hasan dan Husin pula tersengih-sengih.
Puan Zanariah bergerak ke pintu dan membukanya. Dia tersenyum lebar. Kemudian, dia menoleh ke ruang tamu dan berkata, “Mari ke sini anak-anak. Lihat siapa yang pulang?”

Hasan dan Husin bersorak dan segera berlari ke pintu. Dahlia pula bangun perlahan-lahan dan berjalan tertunduk-tunduk.

Di pintu, Dr. Halim tersenyum riang memeluk anak-anaknya. Wajahnya kelihatan lesu namun tersembunyi di sebalik tawa dan senyuman yang lebar.

Akhir sekali, Dr. Halim melutut dan memandang wajah Dahlia yang sedang tersipu-sipu di sisi ibunya. Berkata Dr. Halim, “Apa khabar, anak ayah yang manis?” lalu tangannya disambut dan dicium oleh Dahlia.

Tanpa berkata apa-apa, Dahlia memeluk ayahnya erat-erat. Dr. Halim membalas pelukan itu sambil tersenyum lebar.

Selepas pintu ditutup, Dr. Halim bertanya, “Sudah buka hadiah yang ayah kirim?”
Puan Zanariah memegang bahu suaminya dan bertanya, “Hadiah dalam kotak besar itu, ayah yang kirimkan?”

Dr. Halim menjungkitkan kening lalu mengangguk kecil. Dia kemudiannya mendahului langkah si isteri sebelum duduk di hadapan kotak besar itu.
***
Kini, langkah Dahlia tertib menuju ke dapur. Matanya menyeluruhi ruang penuh kenangan itu. Perlahan, senyumnya tumbuh saat pandangannya tertancap ke arah sebuah pasu bunga kecil yang cantik. Pasu bunga itu adalah hadiah dari ayahnya setelah memaklumi minatnya terhadap bunga-bungaan putih seperti Mama.

Tiga kuntum mawar putih di dalam pasu itu menambah senyum di bibirnya.
Dahlia memandang pasu dan bunga putih itu silih berganti. Kemudian, dia berkata, “Cantik sungguh bunga putih ini, walaupun ia hanya ada satu warna. Patutlah Mama suka.” Bunga putih itu dicium berkali-kali.

Lantas, kenangan silam menerjah ingatan lagi....

Dahlia asyik dengan bunga putihnya apabila pintu bilik terkuak. Kelihatan Hasan dan Husin tersengih-sengih di situ. Dahlia menjuihkan bibir sambil anak mata hitamnya bergerak ke atas.

Husin berkata dengan girang, “Kakak, marilah main permainan yang ayah belikan itu!” Hasan sudah menarik-narik tangan Dahlia.

Dahlia berkata dengan malas, “Mainlah dengan ayah dan Mama. Bukankah permainan itu perlukan empat orang sahaja?”

Hasan menggeleng-geleng. Husin menjawab, “Memanglah perlukan empat orang tetapi Mama kata, dia mahu jadi pengadil sahaja hari ini. Maka, kita masih kurang seorang. Cepatlah, kakak. Mama dan ayah sudah menunggu di bawah!” lalu dia menarik-narik tangan Dahlia.

Dahlia menghentak kakinya perlahan lalu mengikut adik-adiknya turun. Sebelum itu, dia sempat mencapai sekuntum bunga putih dari pasu bunga pemberian ayahnya itu.

Sambil turun, Hasan mengomel, “Mengapa kakak mesti membawa bunga putih setiap kali hendak ke mana-mana? Hendak bermain permainan di ruang tamu pun kakak masih bawa bunga. Pelik!”

Dahlia tertawa kecil lalu berkata, “Sebab kakak suka bunga putihlah! Jangan buat-buat tidak tahu, sebab kamu berdua suka usik kakak dengan mengambil bunga dari tangan kakak, bukan?”

Hasan menggeleng tetapi Husin mengangguk kecil. Kemudian, mereka saling berpandangan dan memberi isyarat mata. Selepas itu, Hasan mengangguk kecil tetapi Husin menggeleng.

Melihat tingkah adik-adiknya, Dahlia tertawa kuat sehingga bapa dan ibunya yang berada di ruang tamu bertanya, “Mengapa, Dahlia?” sambil menjenguk ke tangga.

Dahlia menggeleng sambil mengunjukkan jari telunjuk kiri dan kanan ke arah dua adik lelakinya. Puan Zanariah dan Dr. Halim tersenyum bahagia.

Malam itu, mereka sekeluarga asyik tertawa. Permainan dam ular yang dibeli oleh ayah mereka sewaktu berpergian selama beberapa hari menjadi medium yang mengakrabkan tanpa mereka sedari.

Puan Zanariah yang memilih menjadi pengadil malam itu asyik tersenyum manis melihat si suami dan anak-anak bermain riang. Akhirnya, senyuman itu hilang dan dia mula termenung.

Lama.

Sehinggalah suara tawa Hasan menariknya kembali ke dunia nyata. Husin menepuk lutut ibunya dan berkata, “Mama, ayah dan kakak berpakat kalahkan saya! Tengoklah, mereka senyum jahat!” dan mukanya muram seperti hendak menangis.

Puan Zanariah mengusap kepala Husin lembut dan berkata, “Anak lelaki mana boleh menangis sebab hal-hal kecil begini. Bukankah hero akan kalah dahulu?”

Wajah muram itu segera berubah ceria. Senyumannya melebar. Kemudian, mulut kecil itu berkata, “Cepatlah ayah, kakak! Kalahkan saya sebab hero mesti kalah dahulu!”

Kata-kata Husin mengundang tawa sekali lagi. Dahlia tertawa sehingga terpaksa menekan-nekan perutnya. Dr. Hamid pula tergeleng-geleng sambil memegang tangan isterinya yang berusaha mengawal tawa hingga bibirnya herot-herot. Hasan dan Husin terpinga-pinga sebelum masing-masing menjelirkan lidah lalu tertawa berguling-guling.

Selepas itu, mereka sambung bermain lagi. Kali ini, Dr. Halim mengeluarkan papan dam lain pula.

Hasan menjerit, “Wah, permainan ini ada rumah banyak warna! Saya pilih rumah merah!” lalu dia cepat-cepat mengambil empat biji buah dam berbentuk seperti pemain catur kecil berwarna merah dan menyusun di dalam ‘rumahnya’.

Husin mengikut abangnya sambil berkata, “Saya mahu rumah kuning!” lalu menyusun buah-buah dam berwarna kuning di dalam ‘kawasannya’.

Dahlia memilih rumah hijau sementara Dr. Halim terpaksa akur dengan rumah biru. Puan Zanariah tersenyum senang lalu mengira satu hingga tiga dan membiarkan suami dan anak-anaknya bermain dengan riang.

Selepas itu, Puan Zanariah termenung lagi. Dia termenung jauh sebelum matanya terpisat-pisat seperti orang yang baru bangun dari tidur. Selepas itu, dia menguap beberapa kali sebelum tertidur di atas sofa.

Tidurnya lena. Teramat lena bagaikan bayi yang kekenyangan selepas disusukan ibunya. Dadanya berombak perlahan.

Tiba-tiba, buah dadu yang dibaling oleh Hasan tercampak jauh dari papan dam. Sambil tertawa, Hasan bangun bagi mengambil dadu itu. Tanpa sengaja, dia terlanggar kaki ibunya.

Segera, Hasan memohon maaf tetapi ibunya diam sahaja. Hasan menoleh dan memandang ayahnya, “Ayah, Mama tertidur di atas sofa.”

Dr. Halim menoleh ke arah isterinya dan berkata, “Cepat pula Mama kamu tidur malam ini. Selalunya dia temankan kita bermain sehingga habis.”

Dr. Halim merapati sofa lalu menggoncangkan bahu isterinya perlahan-lahan. Sambil itu, dia memanggil-memanggil Puan Zanariah tetapi tubuh itu tetap tidak bergerak. Mereka kemudiannya bergilir-gilir mengejut wanita itu dari lena tetapi hanya suara bisu yang menyahut.

Akhirnya, Dr. Halim berhenti mengejutkan isterinya dan berkata, “Mama kamu lena sangat, nantilah...,” kata-katanya terhenti apabila secara tiba-tiba tangan Puan Zanariah terkulai ke sisi.

Mata Dr. Halim membulat. Dia segera menggoncangkan tubuh wanita di sisinya itu kuat-kuat. Bahu wanita itu dipegang erat namun dia tetap lena. Nadi wanita kesayangannya itu segera diperiksa dengan teliti.

Dr. Halim mencium dahi isterinya lalu menangis. Dahlia yang sebelumnya asyik duduk di atas permaidani mendekat dan bertanya, “Ayah, mengapa?”

Sambil menggeleng-geleng, Dr. Halim berkata perlahan, “Mama kamu sudah tiada.... Tuhan lebih sayangkan dia,” lalu dia terus menangis.

Dahlia terduduk lalu memegang tangan ibunya erat-erat. Air matanya mengalir laju ke pipi. Wajah ibu yang tenang itu dipandang tanpa berkelip, bersilang dengan wajah ayahnya yang basah. Hasan dan Husin terpinga-pinga tidak mengerti.

Rupa-rupanya, Puan Zanariah tidur buat selama-lamanya. Itulah kali terakhir dia bermain bersama anak-anaknya. Itulah kali terakhir dia menemani suami dan anak-anaknya.

Walaupun sepuluh tahun sudah berlalu, Dahlia tetap sayangkan Mama! Sampai bila-bila, Dahlia akan sayang Mama! Di ruang tamu, Hasan dan Husin tersenyum manis. Jambangan bunga putih kelihatan indah berkembang di tangan masing-masing. Sekali lagi, Dahlia tersenyum sambil menyeka air mata.

Hasan kemudiannya meletakkan jambangan bunga di atas sofa. Kemudian, dia mencapai tiga naskhah Surah Yassin di atas meja kecil di tepi sofa. Dahlia segera menyertai adik-adiknya itu.


***


Al-Fatihah, buat arwah bonda tercinta Puan Hajah Zaliah binti Ahmad. Semoga bonda sentiasa disayang Allah. Amin.

4 comments:

S.Kausari said...

Syahdu membaca bahagian yang akhir..
Komen nanti kita kongsi di grup FB Geng Urban ya..

p/s: segan saya nak komen di blog ni, sebab saya memang baik hati, tapi dah tak comel lagi.. :D

rahmahmokhtaruddin said...

Terima kasih, Tuan Salleh! Baik, kita kongsi di sana ^^_

Tuan buat saya tergelak-gelak. Hahaha, nampaknya kena tambah 'dan hensem' lah di belakang tu.

S.Kausari said...

Kalau letak hensem, lagilah tak nak komen. Hahaha..

Reeani Annur said...

Al-Fatihah buat mama Rahmah.

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape