Jul 23, 2014

Saudaraku, Bantuan Dalam Perjalanan!


Jamal menutup akhbar dan mengeluh berat. Dia menggeleng-geleng, kesal. Cawan berisi kopi panas yang masih berasap didekatkan ke mulut. Selepas meniupnya sekali dua, dia menghirup minuman itu, penuh nikmat.
            Tidak semena-mena, Helmi menepuk meja lalu duduk dengan kasar. Riaknya cemas dan dia terlihat kusut dan kalut. Hampir-hampir cawan air itu terlepas dari tangan Jamal.
            “Kenapa dengan kau?”
            Tiada jawapan. Sebaliknya, Helmi hanya termenung memandang cawan berasap di tangan sahabatnya. Tingkahnya menimbulkan hairan sehingga kedua-dua kening Jamal berkerut dengan kerut yang bukan sedikit.
            Selang beberapa saat, Helmi berkeluh. Apabila Jamal memandang dengan sebelah kening terangkat, dia mengeluh lagi.
            Beberapa kali, Helmi mengulangi perbuatannya.
            Akhirnya, Jamal bertanya lagi, “Kau kenapa, sebenarnya?”
            “Palestin berdarah lagi.... Aku sedih, marah!”
            Jamal mengangguk-angguk lagi. Wajahnya yang tenang berubah geruh. “Bukan kau seorang yang marah.”
            Bagai dituang minyak, Helmi menepuk meja lagi. Kali ini lebih kuat. “Apa pemimpin negara-negara Islam buat selain mengutuk tindakan Israel yang dilaknat itu?”
            Jamal diam. Beberapa pemuda berselang meja itu terpandang-pandang sebelum masing-masing mengangkat tangan, menyokong cakap-cakap Helmi.
            Tindakan mereka menyebabkan Helmi semakin bersemangat. Dia menyambung lagi, “Sepatutnya kita hantar bantuan kepada mereka! Bukan duduk diam seperti ini!”
            “Betul! Kita senang-senang di sini, sedangkan saudara kita di sana sedang menderita di tanah sendiri!”
            Jamal tersenyum segaris. Dia berdehem.
            “Memang kita perlu bantu mereka. Jadi, kau mahu mengangkat senjata dan menjadi pejuang al-Qassam?”
            Helmi tersenyap. Perlahan-lahan dia menunduk sambil menggeleng.
            Helmi tersenyap. Langsung, semangatnya yang meluap-luap tadi melungsur.
            “Mana mungkin aku mampu jadi pejuang mereka? Solat Subuh pun jarang pada awal waktu, apatah lagi mahu istiqamah berjemaah selama berbulan-bulan!”
            “Kalau begitu, sudah menderma untuk Gaza?”
            Helmi terkedu. Dia menggeleng juga, lambat-lambat.
            “Adakah aku terlambat? Apa yang aku boleh buat untuk tolong mereka?”
            Seorang pemuda yang duduk tidak jauh daripada meja mereka mendekat. Usai memberi salam, dia menghulur sekeping kad keras dan berkata, “Mari kita mulakan dengan membaca Qunut Nazilah pada setiap solat Fardhu.”
            Helmi membelek-belek kad yang baru bertukar tangan itu, ‘Qunut Nazilah?’
            “Bagaimana mahu membacanya?”
            Balas si pemuda tenang, “Seperti kita membaca doa Qunut dalam solat Subuh, kita bacakan Qunut Nazilah pada rakaat terakhir selepas bangun dari Rukuk sewaktu sedang berdiri ketika I’tidal. Semoga Allah hancurkan musuh-musuh Islam.”
            Tercengang sesaat dua, mereka kemudian mengangguk-angguk dengan mata yang bercahaya.
            Tambah saudara itu lagi, “Sekarang, barulah kita boleh kata kepada mereka, pertolongan dalam bantuan. Semoga mereka terus bertahan, pada apa juga yang mereka pegang dan percaya. Semoga mereka terus gagah untuk bertahan dan berjuang kerana Allah. Semoga iman mereka dan kita bercambah-cambah.”
            Sempat, Jamal berbisik, ‘Rancangan makan malam di McD itu, kita tukar ke tempat lain.’
            Helmi bersetuju tanpa lengah.
            ‘Saudaraku, bertahan dan berjuanglah! Sesungguhnya bantuan kami dalam perjalanan.’


Terjemahan Qunut Nazilah:
“Ya Allah, sesungguhnya kami letakkan Engkau di batang leher musuh-musuh kami, dan kami berlindung denganMU dari kejahatan mereka. Ya Allah, hancur leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka! Kacau-bilaukan persatuan mereka! Cerai-beraikan pakatan mereka! Goncangkan pendirian mereka! Hantarkan ke atas mereka anjing-anjing Kamu! Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa, Wahai Tuhan Yang Bersifat Murka, Wahai Tuhan Yang Maha Menyiksa, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah. Wahai Tuhan yang menurunkan Al-Quran, wahai Tuhan yang menggerakkan awanan, wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera Ahzab, kalahkanlah mereka, menangkanlah kami ke atas mereka....”


“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan-Mu, kami meminta ampun kepada-Mu, kami memohon petunjuk dari-Mu, kami beriman kepada-Mu, kami berserah kepada-Mu dan kami memuji-Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri-Mu. Ya Allah, hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, bantulah saudara-saudara seIslam kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan. Ya Allah, selamatkanlah saudara seIslam kami di Gaza yang dizalimi oleh kekejaman rejim zionis dari segala keburukan dan hindarkanlah mereka segala bala, kerana tiada sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah. Allahumma Amin.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape